Thursday, January 7, 2010

Suasana di pasaraya pada Musim Perayaan

Ini adalah karangan kanda Syed Hasan untuk kerja rumahnya, dengan dibantu yang dikasihi ayahanda:

Suasana Di Pasaraya Pada Musim Perayaan

Idulfitri tidak lama lagi akan disambut oleh umat islam. Kami sekeluarga belum lagi membuat persiapan sebagaimana biasa. Tahun-tahun sudah kami membuat persiapan awal. Tapi tahun ini kewangan ayah agak tersepit. Nasib baik di akhir ramadhan, ayah sambil tersenyum mengajak kami ke pasaraya. Mungkin ayah baru dapat bonus.

Kenderaan berpusu-pusu. Tempat letak kereta hampir tiada. Saya, adik-adik dan ibu turun dulu dari kereta proton saga ayah, sambil ayah menunggu giliran ‘parking’. Ayah sengaja ke pasaraya besar bagi mengelakkan singgah ke banyak kedai untuk beli persiapan hari raya kami sekeluarga. Tambahan pula di pasaraya besar selalunya ada tawaran harga.

Saya terus mencapai troli untuk mengisi barangan yang bakal kami beli. Adik bungsu saya terus memanjat ke atas troli. Para jurujual kelihatan begitu sibuk memperkenalkan barangan jualan mereka. Ibu selalunya tidak melayan mereka. Ayah sudah pesan, jangan melencung ke tempat lain, terus beli apa yang telah dirancang.

Tawaran harga yang diiklankan memang menarik. Potongan sehingga 70%. Mungkin mutunya kurang baik. Tapi bagi kami, ia sudah memadai. Sesudah selesai memilih pakaian dan kasut untuk kami sekeluarga, masalah seterusnya adalah untuk membayar. Semua kaunter bayaran yang disediakan penuh dengan pelanggan. Ibu mengambil masa kira-kira 20 minit berbaris untuk membuat pembayaran. Sudahlah habis banyak wang, masapun terbuang hampir dua jam dalam pasaraya sahaja, tidak termasuk ‘jem’ di jalanraya.

Walaupun begitu kami tetap bersyukur kerana dapat merayakan idulfitri tahun ini dengan meriah. Di pagi raya, ibu dan ayah kelihatan hanya mengenakan pakaian raya tahun lepas sahaja.

No comments:

Post a Comment